Monday, 13 May 2013

Wan Azizah BIla Lagi!!!..




DUA Presiden parti komponen BN, Datuk Seri Chua Soi Lek (MCA) dan Tan Sri Koh Tsu Koon (Gerakan) telah menyatakan hasrat masing-masing untuk meletakkan jawatan dalam jangka masa terdekat. Tsu Koon umpamanya telah menetapkan tarikh 16 Mei ini untuk melepaskan jawatan Presiden Gerakan sementara Soi Lek pula memberi masa antara Jun hingga Disember tahun ini untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden MCA.

Inilah yang sepatutnya berlaku, bila parti masing-masing gagal menunjukkan prestasi yang baik, melepaskan jawatan adalah tindakan terbaik, tidak ada apa yang lebih mulia dari itu. Sepatutnya tindakan bermaruah ini turut menjadi ikutan Presiden parti dalam Pakatan Rakyat terutama PKR yang gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pilihanraya umum yang lepas.

Ramai merasakan sudah sampai masanya Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail mengundurkan diri bagi memberi peluang kepada tenaga baru yang lebih segar untuk mengendalikan parti tersebut. Justifikasinya amat mudah, PKR kalah 69 dari 99 kerusi parlimen yang mereka tandingi atau 30% mengikut pencapaian keseluruhan sehingga mempengaruhi kegagalan Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya. Dikatakan, ramai calon PKR yang sepatutnya ada peluang lebih besar untuk menang, diketepikan kerana campur tangan Wan Azizah selaku Presiden parti.

Seterusnya Wan Azizah sering mengganggu perancangan Biro Pilihanraya PKR yang diketuai Azmin Ali selaku pengarahnya. Bercakap tentang Azmin, dikhabarkan juga terdapat bukti Wan Azizah bersekongkol dengan anaknya, Nurul Izzah untuk mengalahkan Azmin di Bukit Antarabangsa dengan menghantar jentera provokasi dari parlimen Ampang. Semua orang dalam jentera pilihanraya PKR tahu mengenai perkara ini.

Walaupun dilihat PAS lebih teruk pencapaiannya (27.63%), tapi perkara itu terjadi disebabkan oleh pemboikotan undi cina terhadap parti berasaskan Islam itu berhubung isu hudud, yang menyaksikan PAS kalah di kawasan yang sepatutnya mereka boleh menang.

Sementara itu DAP telah berjaya mencatat keputusan yang lebih baik dengan menang di 38 kerusi dari 51 kerusi yang ditandingi mereka!! Bayangkan kalau DAP (bukan PKR) yang diberi peruntukan kerusi yang jauh lebih besar, sudah tentu peluang Pakatan Rakyat memenangi kerusi lebih meningkat.

Siapa lagi yang lebih layak memikul tanggungjawab atas kegagalan PKR kali ini kalau bukan Wan Azizah? Walaupun PAS tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas kegagalan dalam kempen kali ini, tapi sekurang-kurangnya Mursyidul Am parti tersebut, Datuk Nik Aziz Nik Mat telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan dan tidak lama lagi menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, disebalik jawatannya sebagai Ketua Umum PKR, tidak wajar memikul tanggungjawab sebagai Presiden PKR kerana beliau sibuk dengan urusan Pakatan Rakyat. Lagipun Anwar perlu bertanggungjawab diatas kegagalan Pakatan Rakyat, dan tidak sepatutnya Anwar dibebankan bertanggungjawab atas dua kegagalan sekaligus (Pakatan Rakyat & PKR), itu tidak adil.

Azmin Ali selaku Timbalan Presiden PKR, wajar mengambil alih tanggungjawab sebagai Presiden PKR dari Wan Azizah sementara menunggu pemilihan parti tersebut yang seterusya. Ramai yang percaya gandingan Anwar-Azmin untuk mengepalai PKR akan menguatkan lagi parti tersebut dan dalam masa yang sama, bertanggungjawab menguatkan Pakatan Rakyat.

Sebagai Presiden PKR yang baru,  Azmin dijangkakan mampu memimpin PKR ke arah pencapaian yang lebih gemilang berbanding Wan Azizah yang pada asalnya diletakkan ke jawatan itu sebagai ganti suaminya, Anwar yang dipenjarakan. Jalan terbaik adalah beliau berundur dan melepaskan diri dari segala kemelut yang belum tahu bila akan tamatnya.

No comments:

Post a Comment