Saya adalah Cina yang kembali kepada Islam. Saya tidak diminta lahir
sebagai Cina sebagaimana anda tidak diminta dilahirkan sebagai seorang
Melayu, India, Kadazan, Iban & sebagainya. Yang paling penting, saya
adalah Muslim & InshaAllah akan mati sebagai seorang Muslim.
Tulisan saya ini khas untuk semua dan saya mulakan dengan penyokong PR.
Adalah sesuatu yang memalukan serta mendukacitakan anda sanggup meminta
bantuan dari Obama. Sedarkah anda bahawa Obama dan Amerika'lah yang
telah menghancurkan kehidupan rakyat beberapa negara dan anda meminta
mereka untuk campurtangan dalam hal ehwal negara?
Masalah negara kita, kita selesaikan antara kita dan walaupun anda
menuduh bermacam-macam namun apakah anda mahu melihat Malaysia huru-hara
seperti negara lain akibat tidak berpuas hati dengan keputusan PRU?
Saya menyokong PR dalam PRU lepas tetapi saya menerima BN sebagai
pemerintah dan kerajaan walaupun ada yang berkata terdapat penipuan
tetapi saya mengutamakan kedaulatan negara dari dicemari. Meminta
bantuan Obama bukan jalan penyelesaian yang bijak. Pemimpin mencerminkan
rakyat dan anda ada masa 5 tahun untuk 'berkempen' sebelum PRU 14.
Kedua ditujukan kepada BN, jangan berkata DAP mahupun Cina menolak
Melayu dan Racist. Kenapa bila dulu MCA menang banyak tak dikatakan
mereka racist dan adakah pernah MCA menyenaraikan calon Melayu untuk PRU
dalam sejarah mereka?
MCA juga ditolak ramai Cina sedangkan MCA adalah parti Cina? Dari 15
kerusi parlimen pada PRU 12, kini mereka hanya ada 7 kerusi. MCA juga
ditolak oleh orang Cina, Melayu dan India. Bila Gerakan dengan ramai
ADUN dan MP Cina sebelum PRU 12 kenapa pula tidak dikatakan racist dan
ada agenda? Adakah kerana mereka parti gabungan BN maka anda berdiam
diri?
Cina tidak menolak Melayu kerana jikalau anda rajin mengkaji, kenapa
Rafizi seorang Melayu boleh menang di Pandan yang banyak pengundi Cina?
Ibrahim Ali dan Zulkifili Noordin kalah di kawasan yang banyak pengundi
Melayu. Orang Cina hanya kurang dari 20% dari penduduk Malaysia jadi
kenapa Cina yang selalu dikambing hitamkan?
Jangan salahkan Cina mahupun Melayu ataupun India jikalau sokongan
berkurangan tetapi tanya diri kenapa rakyat Malaysia menolak gagasan
anda. Yang jelas sebenarnya rakyat jelata baik Melayu, India, Cina,
Jawa, Bangla mahupun Iban menolak politik perkauman yang menjadi senjata
setiap PRU terdahulu. Rakyat makin matang berfikir dan menilai.
Usah meniupkan api perkauman baik dari PR mahupun BN. Usah juga
kongsikan gambar atau dokumen yang anda sendiri tidak pasti kesahihannya
lalu dikatakan inilah agenda mereka. Sediakah kita menjawab di depan
Allah jikalau ianya adalah palsu akibat teruja sangat untuk berkongsi
info yang kita sendiri tidak pasti? Sedihnya ramai Muslim terjebak dalam
isu sebegini dan mengapakah ini terjadi sedangkan isu perkauman adalah
mainan jahiliyyah dan apakah kita masih terperangkap dengan bisikan
syaitan?
Yang telah menang, tunaikan janji anda. Penyokong calon dan parti yang
menang, ingatkan mereka akan janji yang ditabur. Yang kalah, fikirkan di
mana silapnya dan teruskan berkhidmat dan bukannya muncul apabila tiba
musim PRU. Wahai saudara seIslam, ingatlah bahawa Allah SWT memberikan
kekuasaan kepada siapa yang Dia kehendaki dan hidup ini adalah ujian
bagi setiap manusia.
Dari kita bercakap mengenai perkauman dan bangsa, mari kita mengembleng
tenaga mendakwahi mereka agar mereka menjadi saudara seakidah dengan
kita walaupun berlainan bangsa. Allah SWT tidak akan bertanya apakah
bangsa dan kaum kita tetapi InshaAllah kita akan ditanya apakah yang
telah kita lakukan dengan Nur Islam yang Allah telah kurniakan kepada
kita dan pastikan kita ada jawapan di akhirat kelak.
Wallahualam...
No comments:
Post a Comment