Friday, 17 May 2013
Husam Yang Bernasib Malang.
JUJURNYA, bukan bersimpati sangat dengan Datuk Husam Musa kerana tidak dipilih semula dalam barisan Exco kerajaan Kelantan dibawah kepimpinan Menteri Besar yang baru, Datuk Ahmad Yaakub.
Apa pun alasannya, ramai yang tetap berpandangan Husam memang layak terima apa yang dia dapat sekarang.
Tapi dalam masa yang sama, ramai tidak bersetuju dengan cara Husam diperlakukan sekarang, terutama oleh kepimpinan PAS negeri. Walaupun kita tahu Husam beraja di mata, bersultan di hati sepanjang menjadi Exco kanan dibawah Menteri Besar terdahulu, Datuk Nik Aziz Nik Mat, tapi itu bukanlah alasan kenapa beliau perlu dihina dan diperlekehkan.
Kita perlu ingat, walaupun kecil atau besar, Husam ada banyak menyumbangkan jasa sehingga membantu kepada kejayaan PAS di Kelantan hari ini. Kalau tidak kerana ‘politik taktikal’ Husam, silap-silap hari ini, Kelantan sudah terlepas ke tangan BN yang begitu megah dengan gelombang merahnya.
Politik taktikal yang kami maksudkan ialah dari segi menghidupkan kredebiliti kerajaan PAS Kelantan yang diserang gelombang merah dari pelbagai sudut, terutama dalam isu-isu berkaitan pembangunan. Dikala pimpinan Kelantan gagal menjawab isu-isu pembangunan menjelang pilihanraya umum, Husam tampil dengan kenyataan yang dilihat ‘menyelamatkan’ kerajaan negeri.
Umpamanya, ketika ada ura-ura parlimen akan dibubarkan pada September 2012, Husam tampil dengan idea keretapi laju Kuala Lumpur-Kota Bharu.
Sebelum itupun, ketika ura-ura pilihanraya umum akan diadakan pada Jun 2012, Husam telah tampil dengan idea yang lebih menyakinkan, iaitu sebuah lebuhraya percuma menghubungkan Kuala Krai-Kota Bharu yang bernilai RM 1.8 billion.
Semua ini walaupun hanya satu kenyataan tanpa apa-apa follow up, tapi telah memberikan sinar kepada kerajaan PAS Kelantan yang ketandusan idea untuk mempertahankan diri dari UMNO dalam soal pembangunan.
Apatah lagi bila projek Lembah Sireh yang dirancang sejak 10 tahun lalu, gagal dilaksanakan walaupun sebahagian besar tanah telah dipindah milik kepada pemaju. Pendekatan Husam itu telah berjaya membantu kemenangan PAS di Kelantan walaupun diasak hebat oleh kebangkitan gelombang merah. Dalam erti kata lain, sedikit sebanyak Husam ada saham besar dalam membantu kejayaan PAS di Kelantan kali ini.
Beliau sewajarnya diberi peranan lain yang tidak kurang penting dalam pentadbiran kerajaan Kelantan. Bukan sebagai Exco, tapi sebagai Pengerusi anak syarikat kerajaan negeri, terutama yang membabitkan pelaburan dan pembangunan.
Sekurang-kurangnya dengan memberikan Husam peranan yang agak besar, dapat meredakan sedikit ketegangan yang timbul dikalangan para penyokongnya dengan pimpinan PAS Kelantan hari ini berikutan pengguguran nama Husam dari barisan Exco.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment