Thursday, 30 May 2013
Dilema Timbalan Presiden dan Menteri Besar. Azmin vs Khalid,
Rumah siap tukul berbunyi. Begitulah keadaan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Ketika Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional serta kerabat PKR sendiri sudah menubuhkan majlis pentadbiran negeri masing-masing, PKR masih bergelut dengan pelbagai karenah politik dalamnya.
Sebagai contoh, di Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terpaksa menangguhkan pengumuman barisan exco yang dijadualkan pada Jumaat lalu. Ini memberi gambaran bahawa masih ada isu berhubung pelantikan Khalid yang masih belum selesai.
Beberapa hari yang lalu sumber PKR sendiri mengkhabarkan bahawa berlaku perdebatan hangat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri yang mahu Pengerusi Majlis itu, Azmin Ali, dilantik sebagai salah seorang ahli exco kanan.
Desakan itu mengambil kira bahawa di bawah pimpinannya, Azmin telah berjaya mengukuhkan lagi kedudukan Pakatan Rakyat di Selangor. Hasil kerjasama yang dipupuknya dengan PAS dan DAP, Pakatan itu berjaya mengurangkan lagi perwakilan Barisan Nasional daripada 20 kepada hanya 12 sahaja dalam Dewan Undangan Negeri.
Meskipun dalam taburan kerusi baru itu, PKR agak merosot satu kerusi menjadi 14 sahaja tetapi Azmin pernah membetulkan rekod prestasi PKR yang dikatakan “dianiaya” oleh rakan kongsinya PAS. Parti Islam itu telah meletakkan calonnya untuk menyaingi wakil PKR di DUN Kota Damansara dan Semenyih.
Menurut Azmin jika tidak kerana “perbalahan yang tidak perlu” itu, sudah pasti PKR akan menokok bilangan perwakilannya kepada 16 kerusi dan masih mendahului PAS dan DAP yang masing-masing mempunyai 15 kerusi.
Dalam PKR yang mengatur strategi pilihan raya ialah Pengarah Pilihan Rayanya, Azmin Ali. Hasil jerihnya membantu rakan kongsi PKR, terutama PAS untuk menambah perwakilannya dalam Dewan Undangan daripada lapan kepada 15 kerusi.
Lantas pimpinan PKR Negeri Selangor tidak teragak-agak mahu supaya Azmin mengisi kerusi Menteri Besar Selangor. Ini mengundang Azmin untuk memberi ulasan agak pedas apabila mengetahui bahawa pihak pimpinan PKR hanya mengemukakan hanya satu nama pada Istana untuk jawatan berkenaan tanpa berunding dengan wakil-wakil rakyat PKR di Selangor dan pimpinan PKR Negeri.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim juga dilihat seakan akur dengan mengatakan sepatutnya proses pelantikan Menteri Besar dirundingi dengan semua pihak berkepentingan dalam parti di Selangor.
Bagaimanapun, dia terpaksa akur setakat itu sahaja. Anwar tidak mahu menolak syor daripada kerabat PKR iaitu DAP dan PAS yang mahu hanya Khalid menduduki kerusi menteri besar.
Kumpulan penggerak PKR Selangor mengesyorkan Azmin menjadi menteri besar memandang keberkesanan pimpinannya di segi politik negeri Selangor.
Pucuk pimpinan PKR malangnya, langsung tidak menimbangkan syor itu kerana “kelihatan seolah sudah ada komitmen dengan PAS dan DAP” sebelum ini.
DAP dan PAS segera mencalonkan Khalid. Yang menjadi persoalan jika benar ada perkiraan awal dibuat di antara ketiga-tiga parti itu, siapakah yang mewakili PKR? Mengapa Azmin sebagai pengerusi pimpinan PKR Selangor tidak dirundingi?
Kedua-dua kerabat itu mahu status quo dikekalkan. Maka hanya nama Khalid dipersembahkan kepada Sultan Selangor. Dan, buat kedua kalinya, peluang Azmin menyerlahkan kemampuannya menjadi pentadbir sebuah negeri paling maju di Malaysia tertutup.
Bagaimanapun mengambil kira Pakatan Rakyat keseluruhannya gagal menawan Putrajaya kesempatan Azmin memperagakan kebolehannya sebagai seorang pemimpin nasional dalam Kabinet negara juga tidak kesampaian. Lantas Majlis Pimpinan Negeri PKR mahu Azmin sekurang-kurangnya dilantik sebagai exco kanan Selangor.
Namun kali ini Khalid sendiri yang keberatan untuk memberi pertimbangan akan permintaan itu. Sekali lagi ia menyerlahkan kemungkinan ada pakatan yang seolah-olah sudah dicapai di antara PKR dan DAP serta PAS berhubung pengagihan kerusi exco negeri.
Sekali lagi persoalannya jika benar demikian siapakah wakil PKR? Adakah ia dibuat oleh pucuk pimpinan parti – Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah?
Atau, ini adalah inisiatif Khalid Ibrahim sendiri yang merundingi pemimpin PAS dan DAP bahawa jawatan exco-exco kanan tertentu akan diagihkan kepada wakil kedua-dua parti itu jika beliau (Khalid) dilantik menteri besar?
Selain itu, adakah satu kebetulan pula, awal-awal lagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa bekas Speaker DUN Selangor, Teng Chang Kim dan bekas pemimpin DAP negeri Selangor Ean Yong akan dilantik menjadi exco Selangor sebelum Khalid memasyhurkan barisan exconya?
Khalid khabarnya telah mempersembahkan senarai exconya dan kemudiannya berlepas ke Jerman untuk rawatan kaki. Apabila beliau pulang Khamis depan, majlis angkat sumpah exco akan diadakan.
Sementara itu, barisan pimpinan PKR Selangor akan terus muram mengenangkan betapa mudah parti itu mengikis jasa seseorang ahli dan pemimpinnya demi mengikut pelan yang telah disediakan oleh pucuk pimpinan parti itu “secara bisik-bisik dalam kelambu”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment