Saturday, 20 April 2013
Kejutan-Kejutan Hari Penamaan Calon PRU 13
Beberapa kejutan dapat dilihat ketika hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kali ini apabila beberapa pemimpin sama ada daripada parti pemerintah Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dipecat kerana mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas. Beberapa nama besar daripada BN seperti Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim telah dilucut jawatan apabila bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Selain itu, bekas timbalan menteri Umno, Datuk Seri Mohd Shariff Omar juga telah dilucut jawatan apabila bertanding di Parlimen Tasek Gelugor sebagai calon bebas.
Bagi PR, dua pemimpin DAP turut mengambil tindakan sama, apabila bertanding sebagai calon bebas selepas nama mereka tidak terpilih sebagai calon untuk PRU 13 kali ini.
Antaranya adalah Jenice Lee, yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, yang mahu mempertahankan kerusinya selepas DAP tidak mencalonkan namanya, serta Sim Tong Him, yang bertanding atas tiket bebas di kawasan DUN Laksamana.
Tindakan mereka nyata mengejutkan senario politik tanah air kerana ia berlaku ketika negara sedang bersiap sedia memilih parti untuk memerintah di negara ini.
Selain itu, bagi pilihan raya kali ini turut menyaksikan beberapa kerusi Parlimen ditandingi sehingga tujuh calon yang majoritinya adalah mereka daripada calon bebas seperti di Parlimen Kajang.
Kejutan juga dapat dilihat apabila calon BN untuk kerusi Pasir Mas Che Johan Che Pa tidak menyerahkan borang pencalonan sekaligus memberikan penyandang kerusi itu, Datuk Ibrahim Ali berhadapan pertandingan satu lawan satu dengan pemimpin PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Datuk Seri Ong Tee Keat juga dilihat menarik diri daripada Pilihan Raya 2013, namun meletakkan bekas pembantunya Allan Tan sebagai calon bebas untuk bertanding di kerusi Pandan.
Calon bagi kerusi i Parlimen Gelang Patah R. Rajandran yang seharusnya bertanding sebagai calon bebas menarik diri pada saat-saat akhir penamaan calon, yang mana turut memberikan pertandingan satu lawan satu antara menteri besar Johor sementara Datuk Abdul Ghani Othman menentang Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Pilihan Raya 2013 akan menyaksikan lebih 13.3 juta pengundi yang berdaftar untuk memilih calon mereka bagi menentukan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN di seluruh Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment