Berbekalkan slogan baharu “Tentera Darat Teguh Siaga, ATM Gah, ATM Perkasa”, Tentera Darat (TD) yang menyambut ulang tahun ke-81, giat merencanakan dasar, perancangan strategik dan operasi yang bertepatan dengan keperluan pengoperasian.
Sebagai satu daripada cabang utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), TD sentiasa melengkapkan usaha itu dengan amalan triologi 3M iaitu Manusia, Mesin dan Metod (Kaedah).
Menurut Panglimanya Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, 3M bermaksud TD akan sentiasa meningkatkan kualiti sumber manusia atau anggota meliputi pengetahuan, kemahiran, tingkah laku dan kompetensi.
Dua lagi elemen ialah menjamin kelangsungan dengan peningkatan perkakasan/peralatan serta mewujud dan memperkasakan pelan-pelan bersesuaian bagi memastikan pasukan sentiasa relevan dengan keadaan semasa dan masa hadapan, katanya.
“Gabungan ketiga-tiga elemen tersebut jika ditambah dengan tahap kesiagaan tinggi, membolehkan TD mengunjurkan kuasa pada masa, tempat dan tujuan yang betul.
“Lagipun ia memang selari dengan visi kita untuk menjamin kelangsungan transformasi pasukan ATM,” katanya dalam wawancara khas sempena sambutan ulang tahun ke-81 Tentera Darat di Wisma Pertahanan di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, peranan TD sebagai sebahagian daripada ATM selama ini bukan kecil malah ketumbukan ini merupakan nadi utama kepada ATM.
Buktinya, ia telah melalui pelbagai episod mencabar antaranya merasai pengalaman pembabitan dalam zaman Perang Dunia Kedua, zaman Darurat pertama dan kedua Malaysia, zaman Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963 dan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah pada 12 Feb tahun lepas.
Ops Daulat dilancarkan bagi menangani kumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang menceroboh Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari bandar Lahad Datu.
Pencerobohan tersebut menyaksikan lapan anggota polis dan dua anggota tentera terkorban, 68 pengganas berjaya ditembak mati, 173 orang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) serta 443 lagi atas pelbagai kesalahan lain.
“Kita ingat selepas Perang Dunia Kedua, dunia akan menjadi lebih aman tetapi sebenarnya tidak…kerana pada waktu tersebut beberapa negara terlibat dalam kancah peperangan saudara terutama di negara-negara Afrika.
“Jadi pada waktu itu…menjadi retetan sejarah TD, di mana kita secara total terlibat dalam misi-misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Raja Mohamed Affandi berkata dalam misi pengaman itu, TD telah diberikan banyak pengiktirafan tertinggi termasuk dari negara luar atas sumbangan menghantar pasukan bantuan terutama pasukan perubatan ke bumi bergolak seperti di Somalia, Bosnia, Lebanon dan Afghanistan.
“Justeru jika dilihat keseluruhan, TD telah meninggalkan banyak kesan dan nama di serata tempat, baik di Eropah, Asia dan tanah air sendiri dan perkara itu harus dibanggakan,” kata beliau.
Mengenai perancangan untuk menguatkan mobiliti pasukan TD dengan pembelian peralatan baharu, katanya itu bukan keutamaan masa ini kerana perlu mengambil kira kekangan dan kemampuan bajet yang ada pada TD.
“Atas dasar itu, saya hanya meletakkan tumpuan terhadap usaha memastikan peralatan sedia ada berada dalam keadaan baik supaya tahap kesiapsiagaan kita kukuh, sekali gus memungkinkan kita bertindak secepat mungkin sekiranya berlaku apa-apa,” kata Raja Mohamed Affandi.
Mengenai sambutan ulang tahun TD , beliau berkata ia disambut di Port Dickson, Negeri Sembilan dan antara acara yang disusun adalah perbarisan Hari Tentera Darat yang berlangsung mulai 8 pagi di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).
Pada hari kedua sambutan di Pantai Saujana Batu 4, Port Dickson, akan diadakan demonstrasi keupayaan TD, perbarisan memperingati setahun kejadian pencerobohan di Lahad Datu dan acara derma darah, katanya.
No comments:
Post a Comment