Dengan keahlian melebihi 3 juta orang UMNO buat pertama kalinya akan menyerahkan kepada 191 bahagian UMNO untuk menentukan siapa pemimpin yang layak dan dipilih untuk menerajui parti keramat orang melayu ini.
Rakyat negara ini yang berjumlah melebihi 27 juta bergantung harapan agar ahli UMNO dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya untuk memilih pemimpin negara. Permilihan ini bakal memastikan masa depan UMNO agar terus diterima oleh rakyat terutamanya orang melayu. Jangan tersalah membuat percaturan dikhuatiri akan menjejaskan peluang UMNO untuk memenangi PRU 14. Perlu diingat jumlah pengundi dan bakal pengundi baru kian bertambah dari tahun ke tahun. UMNO dan ahli ahlinya perlu berani untuk berubah agar rakyat tidak melakukan tindakan yang lebih drastik dengan menolak UMNO secara total.
Pemilihan UMNO 2013 yang ditangguhkan pada tahun lepas disebabkan PRU13 pasti menjanjikan debaran hebat sehebat PRU13. Dengan format dan kaedah pemilihan yang baru dimana melibatkan lebih ramai pemilih iaitu ahli UMNO. Yang paling penting adalah pemimpin yang akan dipilih nanti adalah teraju kepimpinan UMNO dan BN bagi menghadapi PRU14 akan datang. Cabaran PRU14 amat pasti berbeza dan pasti lebih hebat dan ganas berbanding PRU13!
Amat penting transformasi politik dalam UMNO direalisasikan oleh ahli UMNO bagi berhadapan dengan cabaran yang sangat mencabar. Pemimpin dinosaur yakni yang sudah terlalu lama sepatutnya bermuhasabah diri. Berundurlah secara terhormat! Jangan ingat UMNO dan BN hanya anda yang boleh menerajuinya. UMNO dan BN tidak akan mati tanpa anda. Jika ahli UMNO tidak berfikiran lebih maju maka barisan kepimpinan UMNO tidak akan berubah dan pasti akan lebih terkulai pada PRU14.
Jangan beranggapan UMNO sudah terlalu kuat walaupun menang 88 kerusi Parlimen pada PRU13. Hakikatnya di Selangor umpamanya UMNO semakin terpinggir. Di Kelantan juga menerima nasib serupa. Di Sabah yang menjadi deposit tetap UMNO dan BN sudah mula goyah dengan mengambilkira majoriti sebenar beberapa YB UMNO/BN yang menurun. Bagaimana kita perlu menangani dan meraih undi orang muda yang pasti bertambah pada PRU14 akan datang?
Presiden UMNO berkata, untuk proses pemilihan kali ini, format baru akan digunakan iaitu berdasarkan beberapa pembaharuan yang telah dibuat dalam Perlembagaan parti antaranya pemilihan jawatan MT hingga Presiden dilakukan oleh hampir 150,000 perwakilan di 191 bahagian.
Sambil mengakui sistem baru itu mencabar dan begitu kompleks beliau berkata, pemilihan pemimpin-pemimpin UMNO kali ini melibatkan jumlah perwakilan yang amat besar berbanding sistem pemilihan sebelum ini.
"Jumlah perwakilan yang hampir 150,000 orang itu tidak termasuk jumlah perwakilan yang akan memilih pemimpin-pemimpin di peringkat sayap yang terdiri daripada Pemuda, Wanita dan Puteri.
"Setiap sayap mempunyai 100,000 perwakilan yang akan memilih pemimpin-pemimpin mereka. Saya akui jumlah ini cukup besar walaupun tidak sebesar pengundi yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Bagi memudahkan perjalanan proses pemilihan, Najib berkata, pihak pengurusan UMNO yang diketuai oleh bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd. Rauf Yusoh akan turun ke negeri-negeri untuk memberikan penerangan tentang proses pemilihan baru itu.
Beliau berkata, antara perkara utama yang akan disentuh oleh pihak berkenaan ialah mengenai kefahaman perwakilan serta logistik.
Menjawab satu soalan beliau berkata, pemilihan jawatan MT hingga Presiden oleh hampir 150,000 perwakilan itu akan dibuat serentak pada satu tempoh ditetapkan.
"Cara mana pemilihan kita akan tentukan sama ada dengan cara mengangkat tangan, guna kertas undi, guna dakwat kekal atau sebagainya," ujarnya.
Ditanya sama ada beliau bersedia untuk dicabar bagi jawatan Presiden, Najib berkata, UMNO merupakan sebuah parti terbuka dan sebuah parti yang benar-benar demokratik.
"UMNO tidak seperti parti-parti yang lain," katanya sinis.
Pendaftaran calon bagi semua jawatan sama ada di peringkat ahli MT, peringkat Bahagian dan peringkat pergerakan sayap-sayap telah ditetapkan pada 7 September (Sabtu) di Badan Perhubungan UMNO Negeri dengan persidangan sayap pergerakan dan pemilihan serentak sayap pergerakan akan berlangsung pada 28 September (Sabtu).
Pemilihan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pula akan berlangsung pada 5 Oktober dan Perhimpunan Agung UMNO 2013 akan diadakan bermula 2 hingga 7 Disember 2013